Selasa, 9 Februari 2010
Tahukah Anda?
Masa yang perlu diambil untuk menjawab soalan kertas 1 PMR yang mengandungi 40 soalan kesemuanya adalah 75 minit sahaja ( 1 jam 15 minit). Jika dibahagikan dengan bilangan soalan, maka masa yang patut diluangkan untuk setiap soalan hanyalah 1 minit 52.5 saat (hampir 2 minit). Oleh itu janganlah kita membazirkan masa melebihi 2 minit untuk setiap soalan. Sekiranya tidak dapat menyelesaikan satu-satu soalan dalam jangkamasa tersebut silalah beralih ke soalan berikutnya kerana ada di antara soalan-soalan lain yang kita mampu jawab dalam beberapa saat sahaja dengan bantuan kalkulator. Berdasarkan itu kita akan dapat menjimatkan lebih masa untuk kembali kepada soalan yang telah kita tinggalkan tadi.
Ahad, 7 Februari 2010
Sekolah vs Tuisyen
Cikgu ingin menyentuh tentang satu situasi yang baru-baru ini cikgu alami dengan salah seorang pelajar cikgu. Ada sedikit ketidakwajaran dalam situasi ini yang sedikit menjengkelkan dimana pelajar ini mengikuti tuisyen matematik di luar waktu sekolah. Bagi cikgu aktiviti tersebut tidak ada silapnya tetapi yang tidak enak adalah apabila pelajar tersebut datang ke sekolah, beliau mengemukakan semua soalan yang diberikan oleh guru tuisyennya untuk diselesaikan oleh cikgu. Sekali dua tidak mengapa tetapi sudah berkali-kali perkara ini berlaku. Di sini cikgu ingin memberikan nasihat kepada semua pelajar, sila betulkan pemikiran anda tentang perkara ini. Guru di sekolah adalah pembimbing anda dan bukannya tukang selesaikan masalah tuisyen anda. Sekiranya anda mengalami masalah dengan soalan-soalan di tempat tuisyen anda, bolehlah bertanya secara mendalam kepada guru tuisyen tersebut. Jangan bebankan masalah tuisyen anda kepada guru anda di sekolah. Sekiranya ingin bertanya juga, tanyalah tentang sesuatu yang tiada kepentingan dengan pusat tuisyen anda. Tiada faedahnya soalan diperolehi dari pusat tuisyen dijawab oleh guru dan anda mengemukakan semula jawapan tersebut kepada guru tuisyen anda. Adalah lebih baik cikgu saja yang pergi belajar di pusat tuisyen tersebut dan bukannya anda. Fikir-fikirkanlah...
Langgan:
Catatan (Atom)