Ahad, 10 Oktober 2010

Selamat Menghadapi Kertas 1 dan 2 Matematik PMR 2010

Salam.
Esok bermulalah perjuangan menduduki kertas Matematik 1 dan 2 PMR 2010. Di sini cikgu ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Berjuang dan Selamat Maju Jaya kepada semua calon PMR seluruh Malaysia. Cikgu doakan semuanya dalam keadaan tenang seterusnya berjaya menjawab soalan dengan baik. Sedikit pesanan kepada semua calon:

A. Kertas 1 Matematik PMR (objektif 40 soalan - 1 jam 15 minit)
1. Bahagikanlah masa dengan sebaik-baiknya
  • Jangan habiskan masa lebih daripada 2 minit untuk setiap soalan. Sekiranya berlaku demikian, cepat-cepatlah beralih kepada soalan seterusnya kerana ada di antara soalan-soalan berikutnya dapat diselesaikan tidak sampai pun 10 atau 20 saat. Maka dengan itu, dapatlah kita menjimatkan masa untuk kembali semula kepada soalan yang tidak dapat dijawab tadi.
2. Peralatan
  • Kalkulator saintifik - dinasihatkan guna model 350 atau 570 seperti kebiasaannya.
  • Pensil dan pemadam yang secukupnya dan dalam keadaan sempurna.
3. Manfaatkan formula yang disediakan sebaik-baiknya.

4. Pastikan semua soalan telah dijawab (bertanda) .
  • Elakkan tabiat meninggalkan soalan tidak bertanda
  • Sekiranya masa telah tamat dan masih ada soalan yang belum ditanda. Lengkapkan sahaja jawapan bagi kesemua soalan tersebut dan bertawakallah. 

B. Kertas 2 Matematik PMR (subjektif 20 soalan - 1 jam 45 minit)

1. Pembahagian Masa
  • Jangan peruntukkan masa lebih daripada 5 minit  15 saat untuk setiap soalan. Sekiranya berlaku demikian, cepat-cepatlah beralih kepada soalan seterusnya kerana ada di antara soalan-soalan berikutnya dapat diselesaikan tidak sampai 2 atau 3 minit (mengikut kemampuan). Maka dengan itu, dapatlah kita menjimatkan masa untuk kembali semula kepada soalan yang tidak dapat dijawab tadi.

2. Peralatan
  • Pen, pensil, pembaris dan pemadam yang secukupnya dan dalam keadaan sempurna.
  • Set geometri - jangka lukis, pensil pendek bermata tajam dan jangka sudut ( pastikan semuanya dalam keadaan sempurna)
  • Perhatian: Penggunaan sebarang bentuk kalkulator adalah tidak dibenarkan.

3. Manfaatkan formula yang disediakan sebaik-baiknya.
  • Perlu diingat, tidak semua formula dibekalkan. Oleh itu, pastikan rumus-rumus sampingan telah sedia dihafal sebagai contoh: 'trigonometrical ratios' - nisbah sinecosine dan tangent, 'Statistics'-kaedah menentukan median dan mod bagi data', Pythagorean Triples, Combined operations dan lain-lain lagi.
  • Sila pastikan kemahiran-kemahiran asas matematik dan langkah-langkah penyelesaian telah sedia difahami bagi membantu mengelakkan kecuaian atau kesilapan dalam menjawab soalan terutamanya yang melibatkan topik Algebraic Expressions, Algebraic Formulae, Linear Equations dan Linear Inequalities.
4. Berusaha untuk menjawab semua soalan
  • Elakkan tabiat meninggalkan ruangan jawapan kosong tidak berjawab.
  • Nasihat terakhir cikgu, jawablah apa sahaja yang termampu sebagai ikhtiar terakhir kita. Tulislah apa sahaja di ruangan jawapan selagi mana ianya relevan dengan soalan yang dikemukakan. Janganlah ditinggalkan kosong begitu sahaja ruangan jawapan yang disediakan. Ini bukan ujian biasa. Mana tahu apa yang kita usahakan menulis itu dapat membantu memberi sedikit markah kepada kita untuk berjaya dalam subjek ini. Wallahua'lam.

Semoga, panduan yang cikgu berikan ini dapat sedikit sebanyak membantu para pelajar dalam menghadapi ujian Matematik esok. Semoga Berjaya semua! Yakin boleh Lulus! Yakin Dapat A!

Wassalam.